Jangan Biarkan Identiti Anak-Anak Dibentuk oleh Filem Animasi

Filem, kartun atau iklan adalah antara perkara yang paling akan melekat dengan kuat dalam minda anak-anak. Buktinya, apa yang saya tonton berpuluh tahun dahulu, masih saya boleh bayangkan visualnya, wataknya dan jalan ceritanya.

Kartun dan siri TV seperti Voltron, Ultraman, Dragon Ball, Power Rangers, Mask, Transformers dan Macgyver banyak membentuk identiti generasi yang ada hari ini, malah hingga sekarang, bila melihat pisau Swiss, masih teringat kepada Mcgyver dan kehebatannya, padahal banyak yang tak logik pun.

Begitu juga filem-filem perang Vietnam dulu, tertanam imej askar US yang 'invincible' seperti dalam kartun GI Joe dan kehebatan bangsa Anglo Saxon yang sering dinaikkan dalam filem-filem Holywood seperti Indiana Jones dan banyak lagi.

Anak-anak hari ini menonton watak animasi dalam bentuk yang lebih berwarna dan berkualiti tinggi, percayalah, animasi yang ditonton oleh mereka hari ini akan sedikit sebanyak membentuk identiti dan cara fikir mereka pada masa depan.

Filem-filem seperti Frozen dan Tangled yang memaparkan hubungan antara lelaki dan perempuan (puteri) yang boleh keluar bersama-sama, mengembara bersama-sama tanpa ada sebarang rasa bersalah. Jika ditonton selalu dan ibu bapa tidak pernah menjelaskan, akan terbentuk nilai dalam diri mereka dari karakter yang ditonton.

Bimbang juga kalau keselambaan 'Anna' yang keluar dengan lelaki penjual ais berdua-duaan untuk mencari kakaknya akan mencairkan nilai malu yang telah siap sedia sebagai fitrah dalam diri mereka.
Jika tidak dapat menghalang anak dari menonton, jika tidak dapat menapis filem yang ditonton oleh anak-anak, paling tidak, jelaskan kepada anak-anak yang mana benar dan yang mana salah mengikut neraca syara'.

Jelaskan bahawa seorang Muslimah, pakaiannya mesti menutup aurat bila telah sempurna usia kanak-kanaknya, bukan seperti Anna atau Elsa yang pakaiannya ketat sendat. Jelaskan, bahawa kecantikan sebenar bukan pada wajah dan tubuh yang menggiurkan, tapi pada akhlaq dan pekerti yang mulia. Jelaskan bahawa sebelum berkahwin, seorang perempuan, haram keluar bersama lelaki-lelaki yang bukan muhrimnya, jelaskan bahawa suara wanita adalah aurat dan menyanyi dengan kuat bila telah baligh adalah tidak dibolehkan.

Jangan biarkan jatidiri Islam anak-anak kita dicairkan oleh animasi Pixar yang membawa agenda serangan pemikiran halus dan agenda Amerikanisasi yang merosakkan.

Bahaya Menonton Televisyen Secara Berlebihan Kepada Anak-Anak


Dalam zaman di mana ibu bapa semakin sibuk bekerja akibat pelbagai tuntutan ekonomi dan keluarga yang mendesak, ditambah dengan suasana di luar rumah yang semakin tidak selamat untuk kanak-kanak bermain sendiri, televisyen menjadi alat utama yang menghabiskan masa anak-anak hari ini.

Dengan teknologi televisyen yang semakin pintar dan harganya yang semakin murah, pelbagai rancangan menarik di pelbagai rangkaian yang berbayar dan juga secara percuma di YouTube, juga pelbagai aplikasi yang membolehkan ‘movies’ dimuat turun secara percuma dan skrin televisyen yang semakin canggih dengan teknologi LED, cabaran kepada ibu bapa untuk mengawal anak-anak dari menonton televisyen secara berlebihan adalah satu realiti hari ini yang tidak boleh dipandang endah.

Hari ini, boleh dikatakan hampir setiap isi rumah mempunyai televisyen dan sentiasa pula ditonton oleh segenap ahli keluarga. Menurut satu laporan yang disediakan oleh unit perancang ekonomi Malaysia pada tahun 2013, terdapat peningkatan yang amat ketara dalam bilangan langganan televisyen berbayar oleh isi rumah di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 2012.

Statistik ini walaupun diulas secara positif oleh laporan tersebut, namun disebalik peningkatan ketara bilangan isi rumah yang melanggan rangkaian televisyen berbayar, terdapat bahaya yang hanya akan dapat dilihat kesannya berbelas tahun akan datang, secara khusus pada anak-anak yang terdedah kepada rancangan televisyen setiap hari untuk jangka waktu yang lama.

Dalam sebuah kajian (longitudinal*) yang dijalankan oleh sekumpulan para penyelidik di New Zealand yang mana jurnal hasil kajian tersebut telah diterbitkan di Journal of American Academy of Pediatrics pada bulan Mac 2013, didapati bahawa kadar masa menonton televisyen oleh kanak-kanak, mempunyai hubungan yang positif dengan personaliti anti-sosial, karakter agresif yang cenderung ganas dan sabit kesalahan jenayah yang berkaitan dengan keganasan.

SIBUK

Rindu nak menulis di blog, masih adakah yang singgah dan sudi membaca?

Dulu, saya selalu mencatatkan kisah hidup saya di sini.

Kini sejak dibebani dengan penulisan tesis PhD yang semakin tiba di penghujung, dan kesibukan dengan komitmen empat orang anak yang banyak memakan masa, kesempatan untuk menulis dan berkongsi di sini semakin kurang.

Ada masanya, bila punya masa lapang, idea dan momentum untuk menulis pula hilang entah ke mana, kadang-kadang, bila idea ada, niat terpaksa dibatalkan kerana perlu melaksanakan tugasan yang lebih utama.

Banyak perkembangan yang berlaku sejak Ogos yang lalu. Kelahiran Khalid Furqan tentunya. Humaira’ dan Khadijah yang semakin membesar. Ragam Insyirah yang penuh pahit dan manis.

Kemudian ada warna-warni perpindahan balik kami sekeluarga ke Malaysia. Dengan proses pindah yang amat menyakitkan, dengan barang-barang, proses pembersihan rumah Klemzig yang cukup perit, dengan ragam kontena yang cukup menyesakkan dan macam-macam lagi.

Seterusnya ada kisah adaptasi hidup di bumi Malaysia yang cukup menyeronokkan. Betapa kami menghargai setiap detik nafas di tanah air bertuah setelah 4 tahun berhujan batu di negara orang. Setelah beberapa ketika, saya datang pula ke sini berseorangan, kemudian pulang, dan kemudian datang semula dan akan balik minggu depan.

6 bulan terakhir proses penulisan tesis ini amat memakan keringat dan daya fikir. Proses mendapatkan sebuah ijazah bernama PhD adalah satu proses penuh jerih payah yang hanya akan difahami oleh mereka yang melaluinya.


Sampai di sini dahulu kerana saya perlu kembali menulis tesis dan membaca beberapa lagi jurnal. Insya-Allah, blog ini akan saya update juga dari semasa ke semasa. Moga Allah permudahkan urusan kita semua.


MENGAPA ANAK MUDA PERLU MENJADIKAN AL QASSAM SEBAGAI IKON

Unit ketenteraan HAMAS yang dikenali sebagai Briged Izzuddin Al Qassam adalah legenda sejarah dalam pembikinan. Kemenangan terbaru Al Qassam terhadap tentera rejim pengganas Zionis (IDF) dalam peperangan Asfim Ma’kul atau perang dedaun hancur yang berlangsung selama 51 hari baru-baru ini adalah sejarah gemilang yang menambah koleksi kepahlawanan dan kecemerlangan briged tentera yang menjadi kebanggaan penduduk Gaza dan ramai juga dari kalangan rakyat Malaysia.

Al Qassam adalah hero terbaru umat Islam yang perlu dicontohi oleh anak-anak muda di Malaysia. Lupakan artis-artis dari kalangan penyanyi dan pelakon barat yang mengajak kepada kerosakan, atlit-atlit sukan yang tidak menunjukkan contoh ketauladanan dan semangat yang baik, apatah lagi ‘super hero’ palsu ciptaan Holywood yang langsung tidak ada kebaikan padanya. Pada pemuda-pemuda Al Qassam, ada ciri-ciri kepahlawanan yang jika dicontohi, mampu menjadikan anak muda kita mempunyai personaliti yang boleh menggegar dunia. Ada lima sebab utama mengapa Al Qassam perlu menjadi ikon kebanggaan dan ikutan anak-anak muda kita.

Pertama, adalah kerana tentera Al Qassam mempunyai tahap keimanan dan tawakkal kepada Allah yang cukup tinggi. Tarbiah keimanan melalui didikan Al Quran, hadis dan amal soleh yang berkualiti, ditambah dengan kekuatan tawakkal kepada Allah yang dibina melalui aktiviti jihad bersenjata menentang rejim pengganas Zionis menjadikan mereka manusia luar biasa yang berjaya menewaskan hawa nafsu, syaitan dan musuh orang-orang yang beriman.


HAMAS BUKAN ISIS, ISIS BUKAN HAMAS

Ketika peperangan Al Asfim Ma’kul (Dedaun Hancur) sedang berlangsung, salah satu kempen perang psikologi yang dilancarkan oleh rejim pengganas Zionis yang diketuai sendiri oleh Netanyahu adalah meletakkan HAMAS sebaris dengan ISIS.

Kempen ini antara lain memfokuskan persamaan antara ‘kekejaman’ HAMAS dan ISIS yang menghukum pembelot dan lebih utama, keduanya mempunyai ideologi jihad bersenjata yang merbahaya.

Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengukuhkan lagi justifikasi bahawa HAMAS dan sayap ketenteraannya yang gagah perkasa iaitu Briged Izzuddin Al Qassam adalah pengganas yang wajar diperangi dengan apa jua cara sekalipun.

Media-media pro rejim pengganas Zionis seperti biasa mengalunkan pembohongan ini dalam pelbagai laporan dan analisis, tujuannya hanya satu, iaitu untuk mewajarkan serangan rejim pengganas terhadap Gaza dan lebih penting, untuk meletakkan mereka yang bersama HAMAS dan projek pembebasan Palestin sebagai mereka yang pro kepada kumpulan pengganas.