What you give you get back more

Kaedah matematik menyatakan bahawa 10 – 5 = 5. Contohnya, jika kita ada RM10, RM 5 kita dermakan maka duit kita akan menyusut menjadi RM5. Tetapi sifir memberi bukan begitu, sifir memberi adalah 10 – 5 = 10++. Maksudnya dengan memberi RM 5 dari RM10 yang kita ada, kekayaan kita akan bertambah bukan hanya balik modal, tetapi lebih dari itu.

Unik bukan, dengan memberi, harta kita tidak akan berkurangan, bahkan makin akan bertambah keberkatannya. Tidak guna mempunyai harta yang banyak, tapi hati gundah sentiasa resah kerana takut kehabisan. Lebih baik mempunyai harta yang sedikit tetapi penuh berkat dan sentiasa mencukupi walaupun tangan kita sentiasa memberi.

Lebih baik tidur dalam rumah yang kecil dan bermimpi bahagia bermain di istana dari mempunyai rumah sebesar istana tetapi tidur bermimpikan duka ibarat terkurung di penjara.

Doa yang tulus dari hati yang mulus



“Cuba maira baca surah Zalzalah ayah nak dengar”, aku memulakan sesi usrah selepas solat maghrib bersama anakku di surau semalam dengan menguji hafazannya…

“Ok, tapi lepas tu maira nak ayah cerita pasal surah Zalzalah tau” Humaira meletakkan syaratnya sebelum dia membaca surah tersebut.

“Ok” aku menjawab ringkas tanda bersetuju, memandangkan telah lama aku berjanji untuk menceritakan kisah surah Zalzalah kepadanya, namun sehingga kini belum tertunai janji itu.

Humaira memulakan bacaannya, “Bismillahirrahmanirrahim…..izazulzilatilardhuzilzaalahaaa....”
Alhamdulillah, kualiti bacaan hafazan anak sulungku ini kian lama kian baik, moga berterusan hingga dapat menghafaz keseluruhan Qur’an.

“Dalam surah Zalzalah, Allah cerita pasal hari kiamat” aku memulakan kisah setelah sesi hafazan selesai sambil Humaira duduk bertemu lutut denganku menumpu sepenuh perhatian. Wajah kecilnya begitu fokus merangsangkan lagi untuk aku bercerita dengan penuh semangat.

“Masa hari kiamat, semua manusia yang dah mati, Allah hidupkan diaorang semula, pastu semua orang akan pergi ke Padang Mahsyar...” aku bercerita siap dengan mimik muka dan gaya tangan

“Dekat Mahsyar, Allah akan balas semua perbuatan kita kat dunia ni, kalau kita buat baik sikit pun Allah akan balas, kalau Humaira kutip sampah sekecil ni pun (sambil aku mengutip sisa kertas halus dilantai surau) Allah akan kira sebagai pahala...”

“Yeke Ayah?”, kemudian dia terus melihat ke kiri dan ke kanan, dan ditemukannya sisa tahi cicak yang kecil...

“Ayah, tong sampah mana, maira nak pergi buang sampah kat dalam tong sampah la” begitu pantas dia mengaplikasikan ajaran dari surah Zalzalah.

“Nanti la dulu, ayah tak habis cerita lagi ni” aku menyuruhnya kembali duduk supaya aku boleh menghabiskan ceritaku.

“Semua kebaikan tak kira kecil atau besar, maira senyum kat ibu dengan ayah ke, tolong kawan-kawan ke, salam dengan cikgu ke, semuanya akan dapat pahala, bila kita dapat banyak pahala harapnya Allah akan masukkan kita akan masuk dalam syurga” aku menerangkan hakikat balasan kebaikan kepadanya.

“Haaa, dalam syurga boleh mintak aiskrim kan ayah, ada sungai best yang kita boleh mandi kan” wajahnya kelihatan ceria apabila disebut tentang syurga

“Iye, semua ada, semua maira boleh dapat” aku merangsangkan lagi kecintaan dan kerinduannya kepada syurga.

Kemudian aku menambah lagi, “Kalau maira nak masuk syurga, maira kena selalu minta maaf dengan Allah, maira kena selalu minta dengan Allah supaya Allah bagi maira masuk syurga”

“Macamana nak minta maaf dengan Allah ayah?” dia bertanya dengan wajah yang ikhlas, kasihan pula aku melihat wajah yang sebegitu.

“Ok, kalau maira nak minta aiskrim atau mainan dengan ayah macamana maira minta?” aku cuba membuat kiasan logik.

Dia tersengih-sengih sambil malu-malu mengucapkan dengan perlahan “Ayaaaah, maira nak aiskrim boleh tak?”

“Haa samalah kalau maira nak minta dengan Allah, sekarang cuba maira minta maaf dan minta masuk syurga dengan Allah pula” aku cuba mengajarkannya konsep doa yang sebenar iaitu doa dari hati yang penuh sedar dan permintaan yang penuh dengan pengharapan.

Mulanya dia kelihatan tersipu-sipu, tetapi setelah aku 3 kali aku menyuruhnya akhirnya diungkapkan doanya kepada Allah.

“Allah, maira minta maaf banyak-banyak, maira nak masuk syurga, maira takut masuk neraka nanti kena bakar dalam api, tolonglah” ucap Humaira dengan suara yang halus tapi penuh dengan harapan dari hati yang jernih dari dosa.

Aku hampir menangis mendengar doa yang diungkapkan dengan bersungguh-sungguh dan penuh mengharap, wajahnya penuh dengan tanda-tanda keikhlasan.

Tatkala Humaira berdoa, aku teringatkan diri yang bila berdoa selalu dengan hati yang lalai dan kadang-kadang tidak faham pun apa yang dipinta. Lebih buruk lagi apabila berdoa sambil menggaru sana sini atau kadang-kadang sambil membalas sms. Begitu buruk sikapku dihadapan Allah.

Apakah Allah akan mengkabulkan doa yang apabila diungkapkan, tidak difahami maknanya, kosong dari pengharapan dan rasa takut, serta dilakukan pula dengan cara yang sambil lewa. Marilah kita sama-sama melakukan reformasi dalam doa kita kepada Allah, belajarlah doa yang baik dari para nabi-nabi dan orang yang soleh serta berdoalah dengan hati yang penuh sedar.

“Allah, maira nak masuk syurga sangat, tolonglah maira...” Begitu tulus doa yang keluar dari hati yang mulus.

Jangan dibunuh semangat itu...


“Alhamdulillah la ni S dah nak ikut usrah, Cuma kawan-kawan dia yang masih agak liat” aku mula bercerita tentang perkembangan usrah adik-adik baru kepada seorang ikhwah selepas satu program di Bandar Darulaman.

“Untuk geng-geng yang liat ni, ana plan untuk buat program Jogging ke Puncak Vista Rabu ni, supaya diaorang dapat bina hubungan yang lebih mesra dengan ana dan juga sesama mereka, mungkin lambat laun ada juga yang akan berminat untuk join usrah ana, kalau anta berkesempatan jomlah sertai” aku menyuarakan perancangan dan harapan kepada ikhwah tersebut.

“Eh, anta ni buat program anta pandai-pandai je buat sendiri ye, anta tak bincang dulu ke dengan ikhwah lain?” ikhwah tersebut membalas dengan wajah yang serius...
Aku terkesima seketika, bukan itu jawapan yang aku harapkan dari ikhwah itu. aku bukan mengharapkan pujian, tetapi mungkin cadangan penambahbaikan dan mungkin galakan-galakan lain, tetapi mempersoalkan tindakan aku merancang program sendiri, langsung tidak aku jangkakan respon itu.

“ini inisiatif ana sendiri, salahkah ana bersifat proaktif merancang program, lagipula hanya program ringkas untuk pelajar-pelajar baru yang ana cuba tarbiah sahaja...” aku menjawab dengan hati yang sedikit panas.

“Sepatutnya anta kena mesyuarat dulu, mana boleh main buat je” ikhwah tersebut menjawab lagi, juga dengan wajah yang agak serius...

“Kalau semua benda yang nak dibuat kena dimesyuaratkan dulu, budak-budak ni pun lambat laun akan ketinggalan, letihlah kalau semua benda nak kena mesyuarat” aku mula meninggikan suara sedikit...sambil hati yang panas mula menggelegak...
Untuk mengelakkan tindakan atau kata-kata yang mungkin diluar kawalan rasional, aku segera bangkit dan meninggalkan ikhwah tersebut...

Menjaga keaslian dakwah memang penting, tetapi jika hingga membunuh kreativiti dan menghalang sikap proaktif, dakwah akan beku dan para kadernya akan hanya menjadi pengikut yang bisu.

Dalam zaman yang telah berubah dan generasi yang kian lama kian canggih, para da’ie harus mengurangkan karenah birokrasi dan menggalakkan kreativiti dalam program-program dakwah.

Para da’ie Juga tidak harus menghalang jika ada ikhwah yang bersikap proaktif dan cuba untuk berfikiran diluar kotak, jangan dibunuh perasaan dan semangatnya, sebaliknya harus dibimbing. Kesalahan pasti akan berlaku dimana-mana, namun jika tidak melakukan kesilapan, bila kita akan belajar dari pengalaman.

Ayuh para ikhwah, marilah kita keluar dari tempurung yang sekian lama membelenggu!

2 Sudu Sekali Makan, 3 Kali Sehari

“Anak kita panas badannya ni, jom kita gi klinik” Ibu Khadijah menyapa suaminya Ahmad yang baru sahaja pulang dari kerja.

Ahmad meletakkan tangannya pada dahi si kecil, ternyata badannya agak panas, tanpa membuang masa, Ahmad menyuruh isterinya bersiap untuk ke klinik sesegera yang mungkin.

Tiba di klinik, ibu Khadijah membuat pendaftaran di kaunter, tidak berapa lama selepas itu, nama Khadijah dipanggil.

“Anak puan ni demam, jadi saya akan bagi ubat demam yang namanya Paracetamol, makan 2 sudu 3 kali sehari ye” doktor memberi arahan sambil menarik stetoskop dari dada si kecil Khadijah.

Ubat dan duit bertukar tangan, terlihat riak-riak kelegaan di wajah ibu Khadijah kerana anak kesayangannya telah mendapat penawar mujarab dari doktor.

Tiba di rumah, ibu Khadijah terus membuka plastik ubat, kemudian membaca nama ubat dan arahannya didepan anaknya yang demam

“Paracetamol, 2 sudu sekali makan 3 kali sehari”
“Paracetamol, 2 sudu sekali makan 3 kali sehari”

setelah mengulangkan ayat yang sama sebanyak 3 kali, ubat itu terus disimpan di almari. Keesokan harinya, ibu Khadijah mengambil ubat dari para almari dan terus membaca nama ubat serta arahannya, sama seperti perlakuannya semalam.
Namun wajahnya sedikit resah kerana demam anaknya kelihatan semakin teruk

Pulang dari kerja, Ahmad terlihat perlakuan pelik isterinya lalu menegur...

“Eh, buat apa lagu tu, mana ada anak tu nak sembuh kalau setakat dengar nama ubat dan arahannya aje, ubat tu untuk dimakan la...”

Ibu Khadijah terpinga-pinga melihat ubat dan anaknya yang sakit, padanlah demam anaknya tidak kebah-kebah, salah cara amalkan ubat rupanya...

Situasi diatas mungkin hanya khayalan, namun itulah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam hari ini. Walaupun mempunyai Al-Quran sebagai penawar mujarab, namun ia hanya dibaca dan dilagukan namun tidak diamalkan dalam kehidupan.

Al-Quran turun sebagai penawar kepada segala masalah manusia, namun sekadar membacanya sahaja tidak mencukupi, ia harus difahami dan diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.

Al-Quran juga tidak akan memberi kesan apa-apa jika hanya digantungkan di dinding-dinding dengan tulisan khat yang indah-indah, ibarat menggantungkan ubat di leher pesakit, sampai sudah pun pesakit pasti tidak akan mendapat manfaat dari ubat tersebut, tetapi Al-Quran mesti di sematkan di dalam hati sanubari, bukan hanya dihafal tetapi dilaksanakan setiap perintahnya dalam kehidupan.

Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur'an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang lalim selain kerugian. 17:82

Ayat-Ayat Peringatan Buat Manusia


Hari ini dunia dikejutkan lagi dengan tragedi gempa bumi, kali ini di Haiti, sebuah negara kepulauan yang miskin dalam gugusan kepulauan berhampiran benua Amerika. Kemusnahan dianggarkan amat dasyat, kemalangan jiwa juga dijangkakan akan mencecah 4 dan tidak mustahil 5 angka.

Siri-siri peringatan dari Allah ini semakin lama semakin kerap, apabila manusia telah terlalu jauh dari jalan yang lurus dan melampaui batas di atas muka bumi, maka Allah berbicara kepada manusia melalui siri-siri gempa yang mengingatkan hati yang lalai.

Adapun bagi hati yang tidak pernah kisah akan apa yang berlaku, peringatan-peringatan yang datang akan berlalu bagaikan angin bertiup, kehidupan diteruskan ibarat tiada apa yang berlaku, hidup diteruskan, biarlah peringatan itu dan biarlah sengsara orang lain yang tidak ada kena mengena dengan diri.



Allah berbicara dengan manusia dalam 3 cara. Kaedah yang pertama adalah dengan Al-Quran. Dalam kitab yang agung ini, manusia dijelaskan akan asal-usul kehidupan, hakikat penciptaan dan kehidupan selepas kematian serta panduan kehidupan diatas muka bumi. Kehidupan berlandaskan Al-Quran ini diterjemahkan oleh rasulnya yang mulia, Muhammad S.A.W. Namun ramai manusia mengabaikan kalam agung ini, hatta kaum muslimin sendiri. Yang membacanya pun ramai yang seperti burung kakaktua yang mengungkapkan kalam indah yang tidak difahaminya.



Kaedah yang kedua adalah dengan bahasa keunikan dan keindahan ciptaannya.
Keseimbangan ekosistem alam, keharmonian peredaran bumi dan planet-planet di atas orbit tanpa tersasar walaupun 1 cm. Bahkan di dalam diri manusia sendiri terserlah kehebatan dan keunikan ciptaan Allah, jantung yang terus menerus taat berdegup, buah pinggang yang setia menjadi penapis segala sisa-sisa yang tidak diperlukan, keharmonian segala organ tubuh badan manusia adalah antara tanda kebesaran yang sering diabaikan. Namun manusia sering mengabaikan bicara bahasa ciptaan ini. Lebih malang ada yang mendakwa bahawa segala-galanya terjadi sendiri. Sungguh tidak masuk akal!.

Kaedah yang ketiga adalah melalui siri-siri peringatan yang didatangkan dalam bentuk yang pelbagai, mungkin dalam bentuk musibah yang melanda diri dan yang paling menggerunkan adalah mungkin apabila datang dalam bentuk bencana alam yang memusnahkan. Tatkala datang bala seperti ini, ia menjadi pengajaran untuk hati-hati yang ingin kembali kepadanya agar kembali ingat dan melaksanakan tugas khalifah untuk memakmurkan bumi ini.

Hari ini di Haiti berlaku gempa bumi yang paling dasyat sejak 200 tahun, esok lusa pula siapa tahu dimana? Belum sampaikah masa untuk kita tunduk dan patuh kepada perintahnya? Peringatan bagaimana lagi yang ingin kita tunggu?

Apabila Nafsu Menjadi Tuhan

"Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu. 23:71"

"Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?25:43
"

SALT LAKE: Ahli politik Parti Repuplikan, Christine Johnson memikul tugas tambahan apabila Parlimen Utah kembali bersidang bulan ini selepas beliau mengaku menjadi ibu tumpang kepada dua lelaki homoseks.

Christine yang mengaku sebagai seorang lesbian hamil hasil persenyawaan air mani seorang daripada lelaki itu selepas mereka mengadu sukar memperoleh anak angkat.

......
Christine berkata, anak itu akan mengenali beliau sebagai ibu yang melahirkannya tapi hubungan mereka seperti anak saudara dan makcik.

Penderma sperma itu memiliki hak sebagai bapa tapi pasangannya tidak dibenar menjadi ibu bapa angkat. - AP

Baca berita selanjutnya disini

Membaca berita ini, aku terasa mual, sehingga begitu sekali kehendak nafsu manusia diperturutkan, tidakkah mereka merasa jijik?. Tatkala Barat berbangga dengan kebebasan sosial yang diamalkan, mereka tidak sedar bahawa kebebasan itu sebenarnya adalah satu sekatan kepada fitrah manusia.

Islam datang untuk membebaskan manusia daripada sekatan dan perbuatan yang bertentangan dengan tabi'i kehidupan manusia seperti ini. Islam menghalalkan perkahwinan dan membimbing manusia ke arah hidup bermaruah, Islam datang untuk membebaskan manusia dari kongkongan hawa nafsu kepada kebebasan berpandu yang akan membawa darjat manusia setanding dengan malaikat.

Amalkan Islam, anda pasti sejahtera.

Pemberian yang sempurna

Suatu petang di kafe hijau kuning...

"Kalau hang ada RM 100 juta dan hang dermakan 1 juta, hang rasa orang tu dermawan tak?" Mat Pahang mengutarakan satu persoalan kepada ku ketika sesi kopi radix selepas waktu pejabat.

"eh tentulah...dia derma sejuta, bukan main-main tu..." aku menjawab persoalannya dengan logika yang mudah.

"Baik, kalau ada orang yang hanya ada RM 10 dalam koceknya, tapi dia dermakan RM 5, siapa yg lebih dermawan..." Mat Pahang mengutarakan persoalan dan memintaku melakukan perbandingan.

"Hmmm..." aku termenung seketika teringatkan sepotong ayat dalam al-quran

"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (3:92)

Pemberian yang sempurna adalah apabila kita mengorbankan apa yang kita sayangi, bukan lebihan dari apa yang telah kita pakai. Kebanyakan dari kita apabila bersedekah, merasa bahagia dengan baju-baju lama yang disedekahkan ataupun nota berwarna biru yang dimasukkan di dalam tabung masjid. Hakikatnya bukan begitu....

Dalam ayat diatas, Allah menyebut bahawa kebajikan yang sempurna hanya akan dapat dicapai apabila harta yang kita cintai dinafkahkan, mungkin kita boleh mula berlatih dengan menafkahkan baju-baju yang kita sayangi, bukan yang kita sendiri tak lalu nak pakai dah...

Kita tidak perlu menunggu hingga menjadi orang kaya yang banyak harta untuk menjadi dermawan, mulakan dengan apa yang kita ada, walau hanya Rm 10 cuma.

Jika bukan sekarang bila lagi? Jika bukan kita siapa lagi?

2010

Hari ini 6 hb, telah hampir seminggu berlalu dalam tahun baru ini, seperti tahun-tahun yang lepas juga, peredaran masa terasa begitu pantas, tanda-tanda kiamat agaknya.

Semenjak dua menjak ini, walaupun banyak idea untuk menulis, tapi himpitan masa, bebanan tanggungjawab benar-benar menekan. Banyak cetusan yang akhirnya hanya tinggal cetusan tanpa dapat diterjemahkan menjadi sebuah tulisan.

Moga Allah memberikan kelapangan dan kemudahan untuk kita terus menjadi hambanya yang bertaqwa sepanjang tahun ini...